30 Mar 2013
KURANG 20 saat.
Itulah masa yang diambil genius atau budak pintar matematik
dari Malaysia, Adi Putra Abdul Ghani, 12 tahun, untuk mendarab 280,987 (tarikh
lahir penulis) dengan 999,999.
"280,986,719,013," tulis Adi atas kertas setelah
mendarab angka itu dalam mindanya tanpa menggunakan kalkulator.
Ternyata, jawapannya tepat setelah dibandingkan dengan
kiraan kalkulator telefon bimbit wartawan.
Dia kini berada di Singapura atas undangan Jamiyah Singapura
untuk mengendalikan bengkel matematik.
Semalam, Adi mengongsi rahsia dan formula mengira dalam satu
bengkel bersama penghuni Darul Ma'wa di Guillemard Crescent.
"Jangan pakai kalkulator. Guna otak anda kerana ia
lebih berkuasa," ujar Adi dalam bengkel lebih sejam itu, yang turut
menyelitkan kata-kata motivasi kepada kanak-kanak - ada yang hampir sebaya atau
lebih tua daripadanya.
Esok, Adi akan mengendalikan bengkel I am a Genius and
Headstart in Mathematics di auditorium Masjid Sultan bersama guru matematik
dari Singapura, Cik Aisah Mohd Osman.
Lebih 500 orang yang sudah mendaftar untuk menyertai bengkel
tersebut.
"Saya ingin mengajar kanak-kanak lain agar mereka tidak
lihat matematik sebagai satu mata pelajaran yang susah," ujar Adi, yang berasal
dari Perak.
Sejak berusia enam tahun, Adi telah menarik perhatian
Malaysia dengan kebolehannya menghuraikan masalah matematik yang rumit.
Pada usia sembilan tahun, dia menjadi ketua pegawai
eksekutif (CEO) syarikatnya yang menjual barangan makanan kesihatan yang
dipasarkan di bawah namanya.
Bosan dengan sekolah dan sistem pendidikan yang dirasakan
'tidak sepadan' dengan kebolehannya, Adi kini dididik di rumah.
"Kami masih cari sistem pendidikan terbaik buatnya. Ada
pelbagai saranan yang kami terima mengenai pendidikannya tetapi setakat ini
kami hanya lakukan kaedah trial and error (cuba-cuba) sahaja," ujar
ibunya, Puan Seri Hana Elias, 38 tahun, yang akur tidak mempunyai kepakaran
dalam matematik.
Adi kini seorang jurulatih dan pensyarah yang telah
mengendali bengkel matematik kepada ribuan kanak-kanak di Malaysia dan Brunei.
Baru-baru ini, dia menghasilkan buku Seni Matematik Islam
mengenai 12 formula matematik yang diciptanya sendiri - hanya sebahagian
daripada lebih 200 formula yang telah diciptanya.